Katanya, di bawah tajuk itu ada biodata Menteri, Timbalan Menteri dan Ketua Setiausaha selain terdapat senarai mereka yang pernah menerajui kementerian sejak era merdeka.

Menarik kata kawan itu tadi membaca latar belakang profil tiga orang individu penting yang sedang mengetuai sebuah kementerian antara yang kanan bagi sesebuah negara.

Ketiga-tiganya, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah; timbalannya, Datuk Marzuki Yahya dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob mempunyai kisah kerjaya dan peribadi masing-masing yang dipaparkan secara ringkas dalam laman web itu.

Cuma kata kawan ini tadi, macam ada sedikit perlu ditambah. Bila ditanya kenapa, jawabnya ditambah supaya seragam berkenaan latar belakang pendidikan. 

Sebabnya, Saifuddin dan Muhammad Shahrul Ikram disebut lulusan daripada universiti mana dalam profil yang kebetulannya merupakan alumni Universiti Malaya (UM).

Namun kata rakan tadi, bahagian Marzuki hanya disebut berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan tetapi tidak pula disebut lulusan universiti mana.

Jadi kawan itu tadi mintalah biar seragam antara ketiga-tiganya. Tak perlu pun tanya pegawai kerana alang-alang Marzuki baru sahaja jelaskan yang beliau berkelulusan dari Cambridge International University, Amerika Syarikat.

Betul juga saranan kawan tadi, integriti dan berterus terang itu kan penting. Lengkap di laman web kementerian-kementerian, nanti tak adalah yang tersalah kerana rujuk Wikipedia lagi. Tolong ya, terima kasih. -UTUSAN ONLINE