Sekitar pukul 1.30 pagi tadi, beberapa wartawan termasuk daripada Utusan Online dijemput oleh individu yang tidak dikenali menggunakan nama ‘Amin’ untuk menyertai kumpulan WhatsApp dinamakan “Jemputan Raya YB ***” di mana tiga klip video dikongsikan.

Setelah membawa seramai mungkin wartawan menyertai kumpulan tersebut, didapati individu tersebut tidak lagi mengakses akaun WhatsApp berdasarkan ‘last seen’ pada pukul 1.35 pagi.

Utusan Online tidak dapat mengesahkan kesahihan tiga klip video tersebut.

Dipercayai lebih daripada tiga kumpulan WhatsApp lagi diwujudkan bagi menyebarkan video-video tersebut beserta transaksi kewangan kononnya diterima oleh menteri berkenaan.

Dilaporkan beberapa pentadbir kumpulan WhatsApp yang lain menggunakan nama seakan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) seperti Saifuddin Abdullah, Tian Chua dan Zuraidah dipercayai untuk mengelirukan pemberita dan ahli-ahli kumpulan WhatsApp.

Sementara itu dalam sidang akhbar di Putrajaya hari ini, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir turut diajukan soalan berhubung perkara tersebut namun beliau berkata dirinya tidak mengetahui mengenai penyebaran beberapa keping gambar dan video ‘intim’ mirip seorang menteri tersebut.

Kata Perdana Menteri, beliau baru mendengar mengenai perkara tersebut.

“Saya tidak tahu tau apa pun, saya baru dengar, saya kena bacalah dulu. Kalau awak boleh bagi taklimat, baguslah juga,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berpandangan semua orang harus kekal berpegang kepada prinsip Islam untuk mengelakkan diri daripada turut menyebarkan tular tersebut.

“Lebih membimbangkan jika video tersebut adalah palsu. Pastinya dosanya lebih besar dan laknat Allah yang lebih berat bakal menimpa kita,” katanya dalam akaun Facebook beliau. - UTUSAN ONLINE