Mohd. Sharkar Shamsuddin
MOHD. SHARKAR SHAMSUDDIN

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsuddin berkata, MCKIP adalah projek kerajaan Pusat melalui Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

“Bagaimanapun, perlu diketahui bahawa projek MCKIP ini adalah pelaburan diplomatik untuk terus mengukuhkan hubungan dua hala antara negara Malaysia dan negara China.

“Kedua, apa yang dibawa di MCKIP itu mungkin sebahagian budaya orang China dan kita juga mempunyai perindustrian di sana (China) dan turut membawa budaya kita di sana seperti perlu ada tempat solat dan sebagainya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam wawancara dengan sebuah portal berita yang berkata, Perdana Menteri mahu melihat tembok yang mengelilingi MCKIP dirobohkan.

Dr. Mahathir dalam wawancara pertamanya selepas pulang dari China berkata, beliau sedang cuba meletakkan semula pihak berkuasa Malaysia di kawasan itu dan telah membangkitkannya kepada Beijing.

Mohd. Sharkar berkata, jika Mahathir merasakan tindakan meroboh tembok di MCKIP itu sesuai, kerajaan Pusat berhak melaksanakannya.

“Kerajaan negeri tiada halangan, kita hanya menyediakan tanah dan projek itu (MCKIP) adalah di bawah tanggungjawab kerajaan Pusat,” katanya. - UTUSAN ONLINE