Tinjauan Utusan Malaysia di pintu masuk utama Stesen MRT Muzium Negara di sini mendapati ia penuh sesak dengan orang ramai yang mula beratur sejak awal pukul 12 tengah hari.

Salah seorang penumpang, Aznida Abd. Rahman, 40, datang bersama dua anak gadisnya dari Subang Jaya semata-mata mahu merasai pengalaman menaiki perkhidmatan itu.

Katanya, permulaan era per­khidmatan tren selaku mod pengangkutan bandar yang utama di Lembah Klang melenyapkan 1,001 masalah kesesakan jalan raya serta meningkatkan akses kepada penduduk pinggir bandar.

“Kemajuan infrastruktur dari dalam tren hingga ke platform di semua stesennya amat selesa. Diharap tambangnya berpatutan pada kadar tidak membebankan rakyat,” katanya.

SBK akan berintegrasi dengan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya di Stesen MRT Pasar Seni, LRT Laluan Ampang di Stesen MRT Maluri serta LRT Laluan Sri Petaling di Stesen MRT Merdeka dan Stesen LRT Plaza Rakyat.

Bagi usahawan, Sarbit Singh, 51, tahap pencapaian negara mengejar dan menghubungkan kawasan padat yang bakal melonjak perkembangan sosioekonomi selain menjimatkan masa dan kos pengangkutan.

“Saya sudah lama menanti saat ini. Sebelum ini saya se­ring ber­kunjung ke Melbourne, Australia yang turut menawarkan perkhidmatan seumpamanya.

“Namun, ada beberapa aspek pihak pengendali perlu perhalusi terutama ciri-ciri keselamatan dan keselesaan kepada orang kurang upaya (OKU) dan warga emas kerana kurangnya ruang duduk di platform menunggu,” katanya yang berbangga dengan perkhidmatan baharu itu.

Bagi penumpang OKU, Foo C. K., 27, kewujudan stesen MRT Taman Mutiara yang begitu dekat jaraknya dengan rumahnya amat melegakan kerana menjimatkan masa dan tenaga.

“Suasana ruang dalam stesen dan tren yang selesa serta mesra pengguna memberi imej baharu kepada tahap perkhidmatan pengangkutan awam negara selain kadar tambang istimewa bagi OKU dan warga emas,“ katanya yang bekerja sendiri.

Bagi pelajar, Muhd. Najiy Mohd. Nadzam, 17, kini jarak antara Kajang dan pusat bandar terasa dekat dan kelajuan, kekerapan tren dan tambang yang berpatutan amat menggembirakannya.