Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, cadangan itu merupakan hasil Mesyuarat Peringkat Menteri Pertumbuhan Segi Tiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) ke-21 yang berlangsung di sini hari ini.

Abdul Wahid berkata, Thailand telah memilih kawasan di Chalung, Songkla untuk dijadikan Bandar Raya Getah dan projek tersebut dijangka bermula pada Mac 2016.

“Bagi pihak Malaysia pula, Ladang Bukit Ketapang di Kedah telah dicadangkan untuk menjadi lokasi Bandar Raya Getah.

“Justeru, Malaysia dan Thailand disarankan agar menjalinkan kerjasama antara Bandar Raya Getah tersebut bagi meneroka lebih banyak peluang perniagaan antara kedua-dua negara,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut.

Tujuan mesyuarat itu adalah untuk meninjau kemajuan dan pencapaian dalam enam bidang kerjasama, termasuk perdagangan dan pelaburan, infrastruktur dan pengangkutan, pelancongan dan produk halal.

Yang turut hadir, Menteri Pe­ngang­kutan Thailand, Arkhom Ter­­m­pittayapaisith dan Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Darmin Nasution.

Menurut Abdul Wahid, antara perkara yang boleh dilakukan an­tara Thailand dan Malaysia pada masa ini ialah mengadakan lawatan ke tapak projek di kawasan Bandar Raya Getah itu.

“Selain itu, kedua-dua negara juga perlu mengatur misi pelaburan antara pihak swasta yang mungkin boleh dijalinkan menerusi projek Bandar Raya Getah itu,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau memberi­tahu, pihaknya juga dimaklumkan bahawa Indonesia turut merancang untuk membangunkan sebuah Ban­dar Raya Getah di Sumatera.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2016 pada bulan lalu me­ngumumkan peruntukan sebanyak RM320 juta bagi memulakan projek Bandar Raya Getah di negeri ini dan dijangka projek itu akan menerima pelaburan antara RM5 bilion dan RM10 bilion pada peringkat awal pelaksanaannya.