Namun hari ini, kekesalan tersebut terubat apabila anak­nya yang istimewa, dilahirkan tanpa tiga jari di tangan kiri cemerlang dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) apabila mendapat 6A.

Bagaimanapun buat seketika, bapa yang berpendidikan setakat Tahun Enam itu terme­nung panjang mengenangkan nasib Raja Amirul Mukmin, 13, yang mungkin tidak dapat me­nyambung pelajaran ke Sekolah Menengah Sains (SMS) Machang kerana tidak mempunyai wang.

Apa tidaknya mereka sekeluarga hanya tinggal di sebuah reban ayam organik yang diubah suai tanpa bilik untuk didiami sejak lima tahun lalu.

Pakaian hanya digantung pada ampaian daripada dawai, di ruang yang sempit berkotak empat segi itu hanya terdapat sebuah katil tanpa tilam, di tepi­nya diletakkan sebuah meja serta bangku buatan sendiri dari­pada kayu terpakai serta di satu sudut lagi diletakkan kelengkapan untuk memasak.

“Kami memang susah. Upah saya bekerja kampung hanya cukup untuk makan kami sekeluarga, tidak cukup untuk saya bina sebuah rumah yang selesa untuk keluarga.

“Pada mulanya, Raja Amirul Mukmin tidak mahu ke SMS Machang dan hanya mahu bersekolah di sini kerana dia faham saya tidak ada duit tetapi Alhamdulillah, selepas Utusan Malaysia dan Utusan Online menyiarkan kejayaan anak saya dan kesusahan kami sekeluarga, ramai yang datang menghulurkan bantuan,” kata Raja Safari sambil tersen­yum ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gong Tengah, Semerak dekat sini hari ini.

Kelmarin, Utusan Online menyiarkan berita mengenai kesedihan Raja Amirul Mukmin yang tidak dapat melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh tersebut kerana kesempitan hidup namun tidak sampai dua jam kisah itu disiarkan, Majlis Agama Islam Kelantan dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) melalui Ahli Dewan Undangan Negeri Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim telah memberikan respon untuk menyediakan sebuah rumah kepada keluarga tersebut.

Malah keluarga tersebut tidak putus menerima bantuan daripada pelbagai pihak sama ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti politik dan orang perseorangan.

Raja Safari berkata, sekarang, dia dapat menghela nafas panjang apabila kesilapannya pada usia remaja dek kerana kemiskinan juga dapat ditebus oleh anaknya itu.

“Saya dan isteri diuji apabila dianugerahkan anak yang tidak cukup sifat tetapi dia adalah anugerah Allah yang teristimewa, tidak banyak kerenah malah saya kagum dengan sifatnya dapat memberikan tumpuan dalam pelajaran walaupun kami hidup dalam keadaan serba serbi kurang.

“Semua kelengkapan pakaian seragam telah siap digantung untuk dipakainya pada hari pendaftaran pelajar baharu Sekolah Menengah Sains Machang, Selasa ini dan saya amat berharap dia akan terus cemerlang sehingga ke peringkat tertinggi. Terima kasih kepada Utusan Malaysia dan semua yang membantu,” katanya.