Bagaimanapun, menjelang satu lagi hari yang ditunggu-tunggu oleh seluruh rakyat Malaysia Jumaat ini iaitu Hari Kebangsaan, pengalaman hampir sama dilalui oleh ibu beranak satu itu sekali lagi.

Katanya, sejak hujung Julai lalu hingga ke hari ini, tidak kurang 80 tempahan diterimanya terutama daripada ibu bapa yang mahukan sepasang baju bertemakan Jalur Gemilang untuk anak-anak mereka.

“Alhamdulillah, saya ang­gap semua ini rezeki yang tidak disangka-sangka. Mungkin inilah yang dikatakan semangat 'Malaysia Baharu',” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ujar anak kelahiran Perak itu, dia mula menceburi bidang jahitan secara sepenuh masa sejak hampir enam tahun lalu dan hanya me­nerima tempahan untuk menjahit pakaian bertemakan Jalur Gemilang menjelang sambutan Hari Kebangsaan sejak 2015.

“Memang kali ini (tempahan) paling tinggi dan meriah sekali. Mujurlah saya dibantu oleh dua pekerja sementara serta seorang pelajar praktikal yang mengikuti kursus jahitan bersama saya,” kata wanita tersebut yang membuka perniagaannya di Taman Seri Merbau, Sungai Dua di sini.

Menurut Nor Azliana, selain tempahan yang dite­rima secara terus, dia juga menerima tempahan yang dibuat menerusi laman media sosial manakala segala urusan berkaitan pengeposan diuruskan suaminya, Nor Aznizam Nor Azmi, 36.

Katanya, selain Pulau Pinang, dia menerima tempahan dari seluruh negara termasuk Sabah, Sarawak, Johor, Melaka dan Pahang.

“Dalam banyak-banyak tempahan itu, antara yang saya paling ingati ialah tempahan yang diterima oleh seorang pelanggan bukan Melayu dari Sabah yang mahukan sepasang pakaian bertemakan Jalur Gemilang dijahit untuk anaknya,” katanya yang banyak menjahit pakaian tradisional seperti baju kebaya dan baju Mela­yu selain pakaian seragam.

Tambah wanita itu, memandangkan sambutan yang di­terimanya kali ini di luar dugaan, dia berhasrat untuk memanjangkan tempoh tempahan jahitan pakaian bertemakan Jalur Gemilang itu sehingga 10 September ini iaitu menje­lang sambutan Hari Malaysia pada 16 September.