Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin berkata, walaupun GPN yang diperolehi kekal sebagaimana tahun lalu namun, ia melepasi sasaran yang ditetapkan jabatan itu iaitu 4.85.

Di samping itu katanya, Terengganu turut mencatatkan peningkatan mendadak bagi pencapaian layak SPM 2018 dengan 90.04 peratus berbanding 88.50 peratus pada 2017 manakala sebanyak 36 sekolah mencapai 100 peratus layak SPM berbanding 32 sekolah tahun sebelumnya.

“Ini merupakan kejayaan tertinggi untuk Terengganu dan kita berpuas hati dengan pencapaian semasa.

“Kita menyasarkan 10 calon mendapat semua A+ tetapi hanya empat sahaja yang berjaya manakala bilangan yang mendapat semua A kekal seramai 272 orang dan semua A termasuk A+ (276 orang),” katanya ketika pengumuman keputusan SPM 2018 peringkat negeri di bilik mesyuarat Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malek di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat.

Shafruddin turut mengumumkan Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu (SMIYT) Kuala Terengganu sebagai sekolah terbaik di negeri ini diikuti Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Integrasi Batu Rakit, SM Sains Sultan Mahmud, SM Sains Setiu dan SM Sains Kuala Terengganu.

Katanya, empat pelajar terbaik SPM 2018 negeri ialah Muhammad Hilman Nor Azmi dari SMIYT Kuala Terengganu yang mendapat 11A+ manakala Nurin Batrisyia Mohd. Azmi (11A+) SMIYT Besut, Amirah Husna Abdul Kahar (9A+) SM Sains Sultan Mahmud dan Nur Atiqah Syuhadah Hamdan (9A+) SMK Tengku Lela Segara. - UTUSAN ONLINE