Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, lokasi itu amat strategik memandangkan kawasan berkenaan sudah dilengkapi bangunan dan kemudahan infrastruktur untuk tujuan itu.

“Kita sudah ada sekolah sukan di sini, jadi elok benar kalau ada universiti sukan pula.

“Kalau Yang Berhormat Khairy Jamaluddin hendak, maka esok kita boleh isytiharkan dan jumpa semula kerana saya mahu menawarkan Taman Ilmu di Tembila sebagai universiti sukan pertama di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Siri Jelajah Transformasi Nasional 2050 (TN50) Peringkat Zon Timur di Dewan Aspirasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, malam tadi.

Yang turut hadir ialah Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Cadangan pembinaan universiti sukan pertama itu dilontarkan oleh seorang peserta program berkenaan, Mohd. Rafi Kori, 37.

Sementara itu, Khairy memberitahu, pihaknya menyambut baik tawaran Ahmad Razif dan memberi jaminan akan membawa cadangan tersebut ke perhatian Kementerian Pengajian Tinggi.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Menteri Besar dengan tawaran yang amat baik itu.

“Sebagai menteri, saya amat bersetuju kerana daripada dahulu kita menginginkan sebuah universiti sukan. Tiada masalah diwujudkan di Terengganu jika ada tawaran tanah cuma untuk pembinaan perlu datang daripada Kementerian Pengajian Tinggi,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE