Drama sebanyak 26 episod itu yang bakal diterbitkan oleh TV Alhijrah akan  turut memaparkan sudut keagamaan, kekayaan dan keunikan pelbagai warisan seni budaya negeri, di samping keindahan alam negeri ini sekali gus mempromosi Terengganu dari sudut pelancongan.

Bagi membuka laluan ke arah itu, Perjanjian Persefahaman Penerbitan Drama Bersiri Megat Panji Alam di antara Alhijrah Media Corporatian dan kerajaan negeri dimeterai hari ini di Wisma Darul Iman, di sini.

Kerajaan negeri diwakili oleh Setiausaha Kerajaan, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail manakala Ketua Pegawai Operasi Alhijrah, Dr. A Bakar Sarpon bagi pihak stesen televisyen itu dengan disaksikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dan Ahli Lembaga Pengarah Alhijrah, Datuk Muhammad S. Ahmad.

Kerajaan negeri akan menaja sebanyak RM1.3 juga dengan nilai pulangan promosi melalui iklan dan penjenamaan di pelbagai saluran dianggarkan RM3.18 juta selain menjadikannya koleksi khazanah negeri.

Drama Megat Panji Alam yang mengingatkan umum tentang cebisan kisah pertunangannya dengan Tun Teja, selain 'perang' yang tercetus antara dua pahlawan bakal diarahkan oleh Aziz. M. Osman, dan dijangka menampilkan kalangan pelakon ternama anak negeri.

Ketika bercakap kepada pemberita kemudiannya, Ahmad Razif berkata, pihak Lembaga Muzium Negeri Terengganu dan Muzium Negara melakukan kajian terperinci hampir empat tahun mengenai Megat Panji Alam yang boleh dimanfaatkan.

"Melalui olahan persepsi sebenar penayangan drama bersiri ini kelak bakal memberi ketulenan fakta sejarah terutama berkaitan hubungan antara kesultanan Melaka dengan Terengganu diharap mampu memberikan pandangan lebih positif terhadap sejarah.

"Kita mahu penonton disajikan dengan kupasan peristiwa sejarah negeri Terengganu dan Kesultanan Melaka dalam versi sebenar Megat Panji Alam," ujarnya.

Beliau menarik perhatian, terdapat pelbagai versi penceritaan mengenai Megat Panji Alam termasuk di dalam Hikayat Hang Tuah dan terdapat 34,600 halaman dalam Google yang memperkatakan tentang tokoh itu.

"Skrip drama yang akan diarahkan oleh Aziz M.Osman itu telah disiapkan dan pemilihan barisan pelakon masih lagi berjalan. Saya difahamkan sesi penggambaran akan dimulakan dalam masa terdekat," katanya. - UTUSAN ONLINE