Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, mereka yang memiliki tanah rentahan haram dan menepati syarat yang dinyatakan boleh membuat permohonan tersebut di pejabat-pejabat tanah daerah masing-masing.

Katanya, had keluasan maksimum yang boleh dipohon bagi tanaman getah dan kelapa sawit ialah dua hektar manakala bagi kelapa, padi dan buah-buahan (0.8 hektar) di samping tanah tapak rumah bagi kediaman tidak melebihi 1,000 meter persegi.

“Kita mengharapkan supaya ia menjadi satu rangsangan untuk pemilik memajukannya sebagaimana syarat yang ditetapkan kerajaan negeri.

“Kita yakin perkara ini akan mendapat sambutan hangat daripada rakyat,” katanya kepada pemberita di luar Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-14 di sini hari ini.

Syarat bagi permohonan tanah rentahan haram pertanian antaranya ialah isi padu tanaman tidak kurang daripada 15 peratus keluasan tanah yang dipohon dan sekiranyanya kurang ia boleh dipertimbangkan untuk tapak rumah, rumah didiami pemohon, pertimbangan permohonan hanya diberikan kepada peneroka asal di samping mematuhi syarat umum dasar tanah negeri Terengganu 2013.

Terdahulu, ketika menjawab soalan lisan tambahan Ab. Razak Ibrahim (Pas-Air Putih), Azman berkata, kerajaan negeri turut bersetuju memanjangkan tempoh pajakan tanah rentahan haram pertanian daripada 60 tahun kepada 99 tahun.

Dalam perkembangan lain, katanya, kerajaan negeri mengambil beberapa langkah untuk meringankan beban rakyat yang kurang berkemampuan dalam membayar premium tanah termasuk melonggarkan syarat kelayakan permohonan secara ansuran iaitu daripada pendapatan bawah RM700 kepada bawah RM1,700.

“Langkah yang diambil secara harmoni ini sesuai dengan kemampuan rakyat dan semoga rakyat diberi kelapangan untuk menjelaskan bayaran sekali gus berhak mendapat geran hak milik,” katanya. - UTUSAN ONLINE