Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar berkata, langkah itu sebagai usaha kerajaan negeri mempermudahkan urusan di samping mengukuhkan lagi hubungan dengan para pelabur.

Malah katanya,dalam memajukan negeri ini melalui perindustrian kerajaan negeri yang baharu dibentuk perlu memandang ke hadapan dan tidak meyimpan dendam kepada sesiapa, sebaliknya melihat kepada setiap perkara kebaikan.

"Sebab itulah, kalau CJ Bio ingin kembangkan lagi operasi dan bercadang untuk memperbesarkan kawasan, kita tiada  masalah membantu menyediakan tanah," katanya pada Majlis Hari Raya CJ Bio Malaysia Sdn.Bhd. di Marina Duyong, di sini petang tadi.

Yang turut hadir ialah Pengerusi CJ Bio (Malaysia) Sdn. Bhd., Tengku Seri Temenggong Tengku Baharuddin Sultan Mahmud dan juga Ketua Pegawai Eksekutif syarikat berkenaan, John Kang.

Tengku Hassan  menyifatkan operasi CJ Bio di Kerteh, Kemaman banyak menyumbang kepada ekonomi negeri ini, dan projek fasa pertama dengan pelaburan bernilai RM 2 billion itu berjaya menyediakan 300 peluang pekerjaan.

"Saya juga dimaklumkan bahawa syarikat ini bercadang untuk melaksanakan projek fasa kedua, kita mrenyambut baik kerana dapat menyumbang kepada lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat.

"Ini sekali gus akan membantu merealisasikan janji-janji dalam manifesto yang ingin menyediakan lebih 20,000 peluang pekerjaan  untuk rakyat sekiranya parti Pas berjaya memerintah negeri ini," ujar beliau.

Oerasi kilang berkapasiti 80,000 tan metrik setahun merupakan yang pertama di dunia menggunakan proses fermentasi dalam menghasilkan L-metionina, sejenis asid amino yang biasa digunakan dalam mengeluarkan makanan haiwan.

Terdahulu, John Kang memberitahu, antara sebab pihaknya membina kilang di negeri ini adalah sebagai laluan untuk menembusi pasaran yang pesat berkembang seperti China dan rantau Asia Tenggara. - UTUSAN ONLINE