Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pengambilan pelajar iaitu kumpulan perintis akan membabitkan seramai 50 orang dengan masing-masing 25 lelaki dan 25 perempuan.

Katanya, kewujudan sekolah itu secara tidak langsung membuktikan komitmen serius kerajaan negeri dalam memahami sesuatu kelompok bangsa kerana eleman bahasa merupakan antara faktor yang mampu mengikat rakyat pelbagai kaum di negara ini termasuk di Terengganu.

"Di Terengganu hampir 97 peratus rakyat terdiri daripada orang Melayu dan Islam, jadi kita cuba memahami kelompok bangsa lain menerusi bidang pendidikan dengan mewujudkan Pusat Tahfiz Mandarin di bawah seliaan Yayasan Terengganu.

"Kita lihat isu hubungan antara kaum tegang akhir-akhir ini apabila ada pihak yang menekan pihak lain sehingga menimbulkan reaksi tindak balas, oleh itu diharap pembukaan sekolah ini kelak dapat memperkasakan agenda perpaduan nasional di samping memberi pengetahuan kepada anak negeri yang mendalami ilmu Al-Quran untuk memahami bahasa kelompok bangsa lain yang bersama membina negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2019 Peringkat Negeri di Dewan Besar, Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Yang hadir sama, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Abdul Rahman Yahya; Ketua Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2019, Suwadi Guliling dan Pengarah Penerangan negeri, Azahar Ismail.

Terdahulu, beliau turut menyempurnakan pelepasan seramai 133 peserta Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2019.

Ahmad Samsuri menarik perhatian terdapat kira-kira 530 anak Melayu yang mempelajari bahasa Mandarin di seluruh sekolah di negeri ini ketika ini dan kesemua mereka berpeluang menyambung pengajian di Pusat Tahfiz Mandarin.

Dalam pada itu, katanya, semua rakyat Malaysia perlu mengakui hakikat perpaduan dan keharmonian antara kaum, justeru adalah tidak wajar untuk mana-mana pihak memberi tekanan kepada bangsa lain sehingga ada yang merasa terancam di dalam negara ini. - UTUSAN ONLINE