Buat permulaan, SRIDI, salah satu daripada tawaran dalam manifesto Pas akan dibuka di lima daerah iaitu Dungun (Bandar Al Muktafi Billah Shah); Hulu Terengganu (Ajil); Marang (Binjai Rendah); Kuala Nerus (Manir) dan Besut (Kampung Raja).

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, langkah itu bagi menunaikan janji parti dalam Pilihan Raya Umum Ke-14, sekali gus memenuhi hasrat ibu bapa yang ingin menempatkan anak-anak di sekolah sedemikian.

"Buat permulaan, setiap SRIDI akan dibuka sebanyak dua kelas yang keseluruhannya dapat menampung 50 murid. Selepas ini lebih banyak akan dibuka secara berperingkat di setiap Dewan Undangan Negeri, selain tambahan Sekolah Menengah Agama di setiap kawasan Parlimen," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Graduasi dan Anugerah Hafazan al-Quran 2018 Sekolah-Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Dalam majlis itu, seramai 346 pelajar tingkatan lima dari rangkaian sekolah ternama negeri itu diraikan selain pemberian insentif RM1,000 kepada 300 pelajar yang telah berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran.

Katanya, Sekolah Rendah Agama Yayasan Islam Terengganu (SRAYIT) di sini yang telah beroperasi sejak 2016 juga akan turut menggunakan modul yang sama dengan SRIDI dalam memberi pendidikan agama secara formal dengan lebih meluas dalam melahirkan generasi ilmuan yang bertaqwa, berketrampilan dan beriman.

Katanya, permohonan kemasukan untuk pendaftaran murid tahun satu di SRIDI dibuka sepanjang bulan ini yang boleh dibuat di Bahagian Pendidikan, JHEAT di Kompleks Seri Iman.

Antara syarat kemasukan ke SRIDI ialah pemohon mestilah anak negeri yang boleh menulis dan membaca jawi atau al-Quran serta lulus temuduga.

“Sesi pembelajaran bermula dari pukul 8 pagi sehingga 4 petang. Ini akan memudahkan ibu bapa yang bekerja untuk menguruskan persekolahan anak-anak mereka," ujarnya. - UTUSAN ONLINE