WAN ABDUL HAKIM
WAN ABDUL HAKIM

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar berkata, TMT2017 menunjukkan momentum menyakinkan, dan ini memerlukan kesinambungan 'political will' dan matlamat.

"Bukan soal sasaran angka (kedatangan pelancong) semata-mata tetapi juga terhadap kualiti pelancong, sebanyak mana yang mereka belanja dan sebanyak mana pula limpahannya kepada rakyat untuk meningkatkan taraf hidup mereka.

"Jadi kita akan turut lakukan 'post-mortem' terhadap segala pelaksanaan TMT 2017, dan melakukan penambahbaikan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Ke Arah TMT 2018 di Duyong Marina Resort di sini hari ini.

Kira-kira 200 peserta termasuk para pemain industri, wakil-wakil jabatan dan agensi serta para pemimpin, badan bukan kerajaan dan sektor swasta menyertai seminar itu.

Seminar itu antara lain bertujuan mempertingkatkan tahap kesediaan, mengumpulkan maklumat dalam penyediaan acara-acara, di samping berkongsi pengetahuan, dan pengalaman agar bersama-sama bergandingan memajukan industri pelancongan negeri.

Terengganu kini lihat berada di fasa lebih bersedia bagi menjelmakannya sebagai negeri pelancongan yang dinamik.

Sektor industri ini dengan potensi yang sangat besar, sedang dipacu untuk menjadi salah satu penjana utama ekonomi negeri dan rakyat, selain menjadi penampan kepada tempias ekonomi dunia yang tidak menentu.

"Dalam suasana negatif yang menyelubungi negara termasuk sektor pelancongan tahun lalu yang dibimbangi memberi kesan, kita berjaya keluar daripada keadaan itu," ujarnya. - UTUSAN ONLINE