“Tindakan itu merupakan sebahagian daripada percubaan yang gagal untuk menggulingkan kerajaan sementara menunggu pusingan pilihan raya,” katanya semasa berucap pada Majlis Perniagaan AS-ASEAN dan Majlis Makan Ma­lam Perdagangan AS di sini.

Perdana Menteri yang menceritakan panjang lebar kejayaan Malaysia dan pengiktirafan badan antarabangsa, mengingatkan me­re­ka agar tidak membenarkan suara politik pembangkang mengaburi realiti.

“Saya tahu sebahagian daripa­da anda mendengar beberapa cerita yang kurang positif tentang ekonomi Malaysia, terutama mengenai 1MDB.

“Bagaimanapun, saya harus me­ngingatkan anda bahawa walaupun ada masalah, beberapa ahli politik pembangkang di negara kami memperbesar-besarkan­nya,” jelas Najib.

Daripada menutup isu itu, tambah beliau, kerajaan sebaliknya mengarahkan siasatan dijalankan ke atas syarikat tersebut pada tahap yang tidak pernah berlaku dalam sejarah negara sebelum ini.

Katanya, beliau kemudiannya mengarahkan supaya syarikat itu dirasionalisasikan setelah nampak jelas syarikat itu bermasalah.

“Ini berjalan lancar dan banyak aset yang dahulunya dimiliki oleh 1MDB kini berkembang maju,” katanya.

Najib turut memetik kenyataan ahli ekonomi Dr. Bruce Gale bahawa ekonomi Malaysia terus berkembang pada kadar yang jauh melebihi purata antarabangsa.

“Mungkin saya wajar memberitahu anda bahawa Dr. Gale ialah pengarang buku baharu bertajuk ‘Economic Reform In Malaysia: The Contribution Of Najibnomics.’

“Namun, saya tidak menaja buku itu, saya jamin dan saya sendiri tidak tahu sesuatu yang dipanggil Najibnomics !” katanya sambil menambah bahawa kemajuan besar telah dibuat dalam beberapa tahun kebelakangan ini di Malaysia.

Beliau seterusnya mempelawa ahli perniagaan AS yang tidak pernah ke Malaysia agar melihat sendiri kepesatan pembangunan negara itu.

“Bagi yang ada di sini dan tidak kenal Malaysia dengan baik, datang dan pasti terkejut. Datang dan lihat firma berteknologi tinggi yang telah berpindah ke negara kami dan syarikat yang dibangunkan sendiri dalam negara yang kami amat banggakan,” kata­nya. – UTUSAN