Masro Kaliwon

Leftenan Kolonel ­­Masro Kali­won berkata, Airbus A400M me­rupakan sebuah pesawat canggih yang kesemuanya dikendalikan oleh sistem komputer terkini.

Katanya yang berpengalaman selama 12 tahun memandu pesawat C-130, berbeza dengan pesawat lain, Airbus A400M lebih mudah dikendalikan.

“Namun juruterbang pesawat ini haruslah meminati sistem komputer dan memandunya diibaratkan fly by wire,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian pesawat tersebut yang di­sempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Yang turut hadir, Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin.

Menurut Masro, Airbus A400M mempunyai keupayaan lebih baik berban­ding pesa­wat pe­ngang­kut milik TUDM khususnya C-130, iaitu hampir dua kali ganda laju, kapasiti membawa muatan dan terbang tinggi.

Katanya, pesawat itu menjimatkan masa dan kos serta sesuai untuk digunakan dalam membantu ATM termasuk ketika menyertai misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selain operasi mencari dan menyelamat.

“Pada saya kerajaan telah membuat pilihan tepat dengan membeli pesawat ini kerana ia sangat berguna dalam misi ketenteraan.

“Berbanding kelajuan C-130 iaitu 280 knot, Airbus A400M terbang lebih laju iaitu mencecah 400 knot dan boleh membawa muatan sebanyak lapan tan,” ujar beliau.

Tambah Masro, beliau telah menjalani latihan menggunakan simulasi penerbangan selama dua bulan dan seminggu bersama lima juruterbang TUDM lain sebelum dibenarkan menerbangkan Airbus A400M.