Menurut Perdana Menteri, sehubungan itu beberapa inisiatif utama akan digerakkan bagi membolehkan Malaysia memasuki pa­sa­ran baharu dan industri aeroangkasa yang lebih canggih.

“Matlamatnya adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai negara aeroangkasa yang utama di rantau Asia Tenggara dan sebahagian daripada pasaran global,” katanya ketika berucap merasmikan LIMA 2015 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini hari ini.

Beliau berkata, kerajaan berharap industri tersebut akan menyumbang perolehan sehingga RM32.5 bilion dan 32,000 peluang pekerjaan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030.

Bagi tujuan itu katanya, Kabinet baru-baru ini telah menubuhkan Agensi Penyelarasan Aeroangkasa Kebangsaan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri bagi melaksanakan pelan tindakan dan menjadi sekretariat baharu untuk Majlis Aeroangkasa Malaysia.

Najib memberitahu, Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa pertama yang dilancarkan pada 1997 telah menjana RM19 bilion dalam pero­lehan, RM4.2 bilion dalam bentuk pelaburan dan menyediakan lebih daripada 19,500 peluang kerja.

Yang hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir; bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, program pemodenan ketenteraan terus menjadi peneraju dalam perbelanjaan pertahanan serantau.

“Perolehan kapal dan pesawat terus menjadi keutamaan dalam perbelanjaan pertahanan sehingga 2020 dengan Asia Tenggara diramal membelanjakan sehingga kira-kira RM150 bilion pada 2018 berbanding RM130 bilion tahun ini,” katanya.

Menurutnya, fokus terhadap kerjasama erat dengan negara anggota ASEAN, rantau paling dinamik di dunia ketika ini, akan mengukuh­kan LIMA sebagai platform untuk industri maritim dan aeroangkasa.

“Kita harap Sidang Kemuncak Penerbangan ASEAN dan forum-forum perniagaan serantau akan mengukuhkan lagi kerjasama dan pertukaran antara rakyat sekali gus membantu merealisasikan Komuniti Ekonomi ASEAN yang akan dilancarkan hujung tahun ini,

Menurut Najib, rantau Asia Tenggara ketika ini merupakan pasaran pertumbuhan untuk per­belanjaan aeroangkasa dan maritim, bukan sahaja dalam pertahanan tetapi juga sektor komersial.

Katanya, LIMA merupakan pintu masuk penting dalam pertumbuhan industri itu dan ini dapat dilihat berdasarkan penyertaan lebih 500 syarikat dari 36 buah negara.