Penerimaan pesawat itu juga sebagai langkah persediaan awal untuk menaik taraf Pasukan Udara Tentera Darat kepada sebuah rejimen helikopter.

Majlis penyerahan simbolik dua pesawat itu yang turut ditukar warnanya kepada corak penyamaran digital bagi memberi identiti kepada Tentera Darat, dilakukan antara Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Panglima TUDM, Jeneral Datuk Seri Roslan Saad di sini.

Yang turut hadir menyaksikan majlis itu ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jen. Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin.

Bagi meningkatkan kecekapan pengendalian, bahagian kokpit pesawat itu akan dinaik taraf daripada sistem analog kepada kokpit kaca digital selain sistem navigasi dan komunikasi terkini.

Langkah itu sekali gus dapat meningkatkan keupayaan pesawat dengan mengurangkan beban tugas juruterbang selain lebih mudah untuk diselenggara.

Tugas menaik taraf berkenaan akan dilaksanakan oleh Airod Aerospace Technology Sdn. Bhd. Syarikat itu juga dipertanggungjawabkan untuk memasang senjata berdasarkan keperluan operasi dan misi TD.

Menurut Raja Mohamed Affandi, empat buah Nuri yang diterima itu akan ditempatkan di Pangkalan TUDM di Butterworth, Pulau Pinang sementara waktu untuk tujuan latihan sebelum menerima baki pesawat lain.

“Pesawat-pesawat lain nanti akan ditempatkan di lokasi sesuai untuk digunakan bagi tujuan operasi Tentera Darat seperti penghantaran anggota dan bantuan makanan ke sempadan negara,” katanya.

Beliau yakin Nuri yang digunakan itu masih dalam keadaan baik kerana Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama juga sehingga kini masih menggunakan model helikopter sama.

Dalam pada itu, pesawat Nuri yang merupakan keluaran Sikorsky, AS telah mula digunakan oleh TUDM sejak 1967 ketika zaman Perdana Menteri, Tun Hussein Onn.

Sehingga kini, Nuri telah berusia 48 tahun dengan purata pener­bangan 14,000 jam. Jumlah itu bagaimanapun masih rendah berbanding negara-negara lain iaitu kira-kira 60,000 jam penerbangan.