Seri Paduka bertitah, perkembangan keadaan semasa antarabangsa dan serantau yang tidak menentu mempengaruhi lands­kap keselamatan negara dan kea­daan ini menuntut Tentera Darat sentiasa bersedia menghadapi pelbagai dimensi ancaman dan cabaran dalam menentukan kedaulatan negara terus terpelihara.

“Oleh yang demikian, beta mahukan semua warga Tentera Darat terus melaksanakan latihan dengan gigih dan bersungguh-sungguh.

“Menerusi pelaksanaan latihan yang berterusan dan berkesan, angkatan darat mampu menghadapi sebarang ancaman yang mendatang,” titah Seri Paduka dalam Istiadat Perbarisan Keberangkatan Ulung di Kem Syed Sirajuddin, Gemas dekat sini, hari ini.

Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jene­ral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor; Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Zulkiple Kassim dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Mengambil contoh insiden pen­cerobohan pengganas di Lahad Datu, Sabah pada 2013, Sultan Muhammad V bertitah, insiden itu membuktikan Tentera Darat mampu melaksanakan tugas dan tanggungjawab dalam mempertahankan kedaulatan negara.

“Kejayaan mengekang dan menghapuskan ancaman ini membuktikan legasi peninggalan warga Tentera Darat terdahulu masih diteruskan dalam jiwa warga Tentera Darat hingga kini. Syabas dan tahniah beta ucapkan,’’ titah baginda. – BERNAMA