Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim berkata, kelayakan akademik yang tinggi bukan sahaja meng­untungkan individu berkenaan tetapi juga pasukan.

Beliau berkata, peluang untuk melanjutkan pelajaran itu terbuka kepada semua tetapi ia perlu dilaksanakan secara berperingkat dan disesuaikan dengan keperluan pasukan.

“Saya lihat trend melanjutkan pelajaran ini semakin meningkat terutamanya selepas kelayakan asas untuk masuk sebagai pegawai tentera memerlukan ijazah.

“Sehingga kini, kira-kira dua peratus sahaja pegawai tentera darat yang mempunyai ijazah sarjana manakala lapan orang pegawai mempunyai PhD,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis Penutupan Kur­sus Sarjana Pengurusan Pe­merintahan Pasukan Siri 20/2017 di Institut Pegawai Ka­nan Tentera Darat (Inspeka) di­ Port Dickson dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Jabatan Operasi dan Pengurusan Sistem Maklumat, Fakulti Perniagaan dan Perakaunan (FPP) Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr. Noor Ismawati Jaafar dan Komandan Inspeka, Brigedier Jeneral Dr. A. Endry Nixon.

Zulkiple memberitahu, pa­da April lalu, Inspeka telah melancarkan kursus PhD Pe­ngu­rusan Pemerintahan Pasukan dengan 13 pegawai dari tentera darat, laut dan udara sedang mengikuti pengajian selama tiga tahun.

“Daripada maklum balas yang diterima memaklumkan mereka me­nunjukkan ke­mam­puan memberangsangkan­, si­­kap yang bagus dan daya tahan kuat. Saya harap mereka akan berjaya,” ujarnya.

Sementara itu, majlis tersebut menyaksikan seramai 28 pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya menamatkan kursus.

Mereka terdiri daripada 25 pegawai Tentera Darat, dua pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia dan seorang pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia. Kursus itu adalah program kerjasama akademik antara Inspeka bersama FPP UM sejak 1996.