Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi berkata, buat masa ini pihaknya sedang membuat percubaan pemanduan terhadap helikopter buatan syarikat McDonnell Douglas itu.

“Jika mengikut peranca­ngan ia (akan diperoleh) awal tahun depan, perolehan aset ini mengikut perancangan dan kita berpuas hati. Buat masa ini, Tentera Darat masih dapat laksanakan tugas menggunakan aset sedia ada,” katanya.

Ahmad Hasbullah berkata demikian dalam sidang media selepas Perbarisan Perintah Ulung Panglima Tentera Darat ke-27 di Kem Perdana Sungai Besi di sini, hari ini.

Sebelum ini, bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dilaporkan berkata Tentera Darat bakal menerima perolehan aset baharu antaranya enam helikopter tempur ringan jenis MD 530-G menerusi Bajet 2018.

Sementara itu, Ahmad Hasbullah mengingatkan anggota dan pegawai Tentera Darat agar sentiasa berwaspada ancaman kumpulan militan Daesh.

“Pihak Tentera Darat sentiasa menjalankan program keseda­ran bagi mengelak anggotanya daripada terpengaruh dengan kegiatan seperti itu,” katanya.

Beliau juga berkata, empat teras yang digariskan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin akan dilaksanakan bagi memastikan Tentera Darat kekal cemerlang.

Teras tersebut adalah Angkatan Profesional, Ketumbukan yang Siap Siaga, Keutuhan Organisasi dan Memperkasa Kua­liti Hidup

“Arahan Kementerian Pertahanan juga akan dilaksanakan dan anggota tentera diingatkan supaya fokus terhadap tugas yang diamanahkan kepada mereka,” katanya. – BERNAMA