Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau tidak reda umat Islam ditekan dalam apa juga keadaan dan di atas keinsafan itu, lawatan kerjanya ke Singapura pada Selasa dan Rabu ini ditangguhkan, kerana kepentingan Islam wajib didahulu dan diutamakan.

“Saya tak reda nasib umat Islam tertekan dalam apa jua keadaan, takkanlah tanah suci yang ketiga martabatnya dalam Islam tergadai, terhina ditekan oleh orang lain.

“Saya nak beritahu kepada mere­ka bahawa UMNO dan umat Islam Malaysia akan tentang habis-habisan sampai bila-bila, kita tidak akan terima,” katanya disusuli laungan takbir sebanyak tiga kali dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Najib yang juga Presiden UMNO kemudiannya membacakan doa Qunut Nazillah yang turut dibacakannya semasa ucapan dasar, sebelum sekali lagi melaungkan takbir sebanyak tiga kali.

Ketika bacaan doa itu yang diaminkan serentak oleh seluruh ahli serta perwakilan UMNO yang membanjiri PWTC, ramai yang menitiskan air mata termasuklah Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Menurut Perdana Menteri, beliau akan menghadiri persida­ngan khas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada Rabu ini bagi menyatakan pendirian tegas Malaysia selain dihubungi sendiri Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan yang mengharapkan suara Malaysia.

“Kebetulan saya ada rundingan tahunan pada 13 dan 14 Disember ini dengan Perdana Menteri Si­ngapura. Saya telefon Lee Hsien Loong, saya kata tolong faham, ini isu yang menentukan nasib saya sebagai seorang Islam dan nasib kita semua,” katanya diberi tepukan gemuruh oleh para perwakilan.

Dalam sidang akhbarnya selepas itu, Najib berkata, pendirian keras tersebut tidak menjejaskan hubungan Malaysia dengan AS kerana banyak aspek lain atas sifat multi dimensi hubungan diplomatik boleh dijalinkan ke­dua-dua negara.

Bagaimanapun, di sebalik hakikat itu, tegas beliau, prinsip dalam menentang keputusan AS tersebut tidak sesekali berubah dan Malaysia juga tidak akan berganjak dengan pendirian berkenaan.

Apatah lagi ujarnya, keputusan AS itu juga jelas bertentangan de­ngan soal kedaulatan Palestin seper­ti yang diputuskan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selain menyulitkan penyelesaian dua negara seperti dicadangkan sebelum ini.

“Keputusan AS itu juga akan membawa kepada ketegangan dan mungkin pertumpahan darah yang begitu serius dan dahsyat jika tidak dibendung.

“Malah, bukan umat Islam sahaja yang tidak senang hati dengan keputusan itu, penganut Kristian pun tidak setuju. Hampir keseluruhan negara Eropah juga tidak setuju,” tegasnya.