Majlis perasmian itu turut disertai selebriti terkenal seperti Datuk Aznil Nawawi, Erra Fazira, Ziana Zain, Ashraf Muslim dan ramai lagi.

Festival jualan sempena hari raya itu akan dijalankan tanpa henti selama 72 jam bermula 11 pagi tadi.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif program tersebut, Saripah Raziah Mustapha atau lebih dikenali sebagai Ifa Raziah, pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya 2 juta pengunjung akan datang ke festival itu dalam masa 72 jam.

“Hasil jualan pula kita sasarkan mungkin lebih kurang RM20 juta. Daripada 452 gerai jualan, sebanyak 62 selebriti yang turut serta ‘berdagang’ di festival ini.

“Antara aktiviti menarik dalam 72 jam ini termasuk persembahan nyanyian daripada lebih 60 artis terkenal tanah air, konsert kemuncak Starvendors 2019, cabutan bertuah, dan banyak lagi,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Festival Mega Raya Starvendors 2019 di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE