Melalui surat yang ditulis kepada Ketua Pengarah Veterinar Malaysia, Datuk Dr. Quaza Nizamuddin Hassan Nizam hari ini, Tengku Permaisuri Norashikin menyeru agar pihak berwajib mengenakan tindakan sewajarnya kepada pelaku yang terbukti bersalah supaya perbuatan itu tidak berulang lagi.

“Perbuatan menzalimi haiwan ini amat menyedihkan saya dan pencinta haiwan yang lain. Sifat kemanusiaan seolah-olah tiada di dalam diri pelaku sehingga sanggup menganiaya haiwan yang sedang sarat mengandung.

“Justeru, saya menyokong usaha setiap individu yang dapat mengemukakan bukti penganiayaan terhadap haiwan kepada pihak berkuasa agar tindakan selanjutnya dapat dilakukan dengan segera,” titah Tengku Permaisuri Norashikin.

Terdahulu, tular dalam laman sosial rakaman mengenai tindakan tiga lelaki memasukkan seekor kucing ke dalam mesin pengering pakaian di sebuah dobi layan diri di Taman Gombak Ria, Gombak dekat sini.

Ekoran kejadian itu, polis mengeluarkan gambar tiga lelaki bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Susulan itu, dua daripada tiga suspek ditahan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu pejabat Polis Daerah Gombak di sekitar daerah ini awal pagi tadi dan ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan.-UTUSAN ONLINE