Mesyuarat yang bermula pukul 4 petang itu turut melibatkan kerabat diraja Pahang dan Orang-Orang Besar Berempat, Berlapan serta 16 negeri.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak antara Orang-Orang Besar Berempat Pahang dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail turut hadir dalam mesyuarat yang diadakan secara tertutup itu.

Terdahulu, Tengku Abdullah bertitah supaya semua pemimpin dan pegawai kerajaan menjunjung tinggi nilai amanah yang tinggi.

Titah baginda, sejarah dunia telah menunjukkan bahawa sebuah tamadun boleh runtuh adalah kesan pemimpin dan pegawai kerajaan yang tidak amanah selain tidak memiliki kompetensi untuk mentadbir.

“Pada hemat saya ia termasuklah nilai berfikir yang tinggi, kemampuan menyelesaikan masalah, mempunyai kebijaksanaan dan keupayaan memberi keadilan kepada rakyat berbilang bangsa serta agama.

“Pemimpin yang amanah pula ada seseorang yang memiliki nilai integriti yang tinggi, tidak mengambil kesempatan untuk kepentingan peribadi dan tidak memungkiri sumpah serta janji,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan ke Majlis Pengurniaan Suratcara Pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak bagi menggantikan Datuk Seri Muhammad Safian Ismail.

Dalam majlis sama, Tengku Abdullah bertitah, menjadi harapan baginda berhubung hala tuju Pahang dengan meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai penanda aras utama.

Titah baginda, pemimpin jangan sesekali mengabaikan rakyat dan menjadikan mereka sebagai batu landasan untuk memenuhi kepentingan peribadi.

“Sesungguhnya rakyat jelata cukup dekat di hati saya, oleh itu saya berkehendakkan kerajaan saya sentiasa memberi keutamaan kepada rakyat jelata khususnya dalam setiap perancangan pembangunan negeri.

“Atas sebab itu pepatah lama ada berpesan, kuat berdiri pohon kerana akar, kuat akar kerana tanah. Begitu juga kuat kerajaan kerana pemimpin manakala kekuatan pemimpin kerana rakyatnya,” katanya. - UTUSAN ONLINE