TENGKOLOK 'Putra Julang Darjat' telah dilancarkan oleh Raja Perlis
 

Berangkat sama mengiringi baginda ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan anakanda baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.


Turut hadir ialah Ahli-Ahli Jawatankuasa Adat Istiadat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).


Menurut, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor, ekoran titah perkenan berkenaan, tengkolok dengan ikatan tersebut akan mula dipakai dalam istiadat-istiadat rasmi diraja dan majlis rasmi serta separa rasmi di Negeri Perlis bagi menggantikan tengkolok ‘Dendam Tak Sudah’ yang berasal dari Negeri Sembilan yang diguna pakai sebelum ini.


Ikatan tengkolok baru tersebut adalah mirip seperti tengkolok yang pernah dipakai oleh Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail ketika istiadat pertabalan Baginda dalam tahun 1949 dan majlis menandatangani Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957.


Menurut sejarah, jenis ikatan tengkolok berkenaan telah diikat sendiri oleh Almarhumah Tuanku Hajah Budriah, Raja Perempuan Perlis pada ketika itu.


Tengkolok “Putra Julang Darjat” adalah signifikan kepada kejuatan dan usaha si pemakai dalam meningkatkan nilai positif dalam dirinya. 


Ejaan ‘Putra’ adalah bagi mengabadikan nama Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail yang telah berkenan memakai tengkolok ini ketika istiadat pertabalan Baginda pada 1949.


Putra juga membawa makna seorang lelaki. Dengan usaha dan izin Tuhan, maka seseorang boleh meningkatkan pencapaian dirinya. - UTUSAN ONLINE


RAJA Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail (tiga, kanan)