Bercakap kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis Pelancaran Festival GT Asia di sini, Perdana Menteri berkata, tujuan mewujudkan projek kereta ketiga itu adalah bagi mempelajari teknologi-teknologi baharu kejuruteraan automotif.

Menurutnya, negara China boleh mengecapi kemajuan da­lam masa yang singkat kerana mereka menerima langkah untuk menceburi industri automotif.

"Orang fikir kereta kita tidak bagus, jangan beli kereta Malaysia sebaliknya beli kereta buatan asing. Mereka kata jangan buat kereta nasional ketiga, ia tidak bagus.

"Mereka ingat mereka tahu teknologi yang terlibat di sini? Lihat enjin yang terlibat sebentar tadi. Mereka langsung tak tahu pasal kejuruteraan automotif," katanya di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini.

GT Asia adalah satu perlumbaan kesinambungan daripada Kejuaraan GT China yang memutuskan untuk memasuki pe­ringkat saingan antarabangsa.

Buat masa ini, perlumbaan di Sepang adalah satu-satunya pusingan yang berlangsung di luar China.

Dalam majlis itu, Dr. Mahathir mengambil peluang menaiki kenderaan elektrik berkuasa tinggi, NIO EP9 yang dipandu pelumba negara, Jazeman Jaafar.

Ditanya tentang pengalaman­nya itu, beliau berkata; “Ia sangat mengujakan. Degupan jantung saya naik sehingga 140 (denyutan per minit)."

Sementara itu, Dr. Mahathir turut memuji penyertaan kira-kira 70 kereta Proton Saga edisi awal dalam festival berkenaan yang dilihat berupaya berlumba dan mengeluarkan bunyi mirip kereta Formula Satu (F1).

"Rakyat Malaysia fikir mereka tahu semuanya. Anda lihat bagaimana China boleh maju dalam masa singkat. Ini kerana mereka menerima untuk memasuki perniagaan automotif," katanya.