Pengerusi Persatuan Pengguna Jalan Raya Kebangsaan, Mohammad Hisham Shafie berkata, pihak berkuasa juga tidak sepatutnya menawarkan diskaun kepada pemandu bagi menyedarkan mereka terhadap kesalahan yang dilakukan.

Beliau juga mencadangkan agar pesalah dihadapkan ke muka pengadilan bagi melihat keseriusan untuk mengubah sikap pemandu.

Jelasnya, nilai wang semata-mata tidak dapat mengubah sikap pemandu kerana jika pemandu kaya yang melakukan kesalahan tersebut sudah tentu tidak menjadi masalah kepada mereka untuk melunaskan saman tersebut.

“Kita sarankan agar pesalah trafik tidak lagi terus dikompaun di kaunter trafik PDRM, sebaliknya dihadapkan ke mahkamah dan sekiranya mereka gagal menghadirkan diri, hukuman lebih serius boleh dikenakan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim yang mengumumkan saman mandatori RM300 itu akan mula dikuatkuasakan di seluruh negara pada 29 Januari hingga 12 Februari ini.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis pelancaran Op Selamat 14 Tahun Baharu Cina di R&R Seremban arah utara, Noor Rashid berkata: “Enam kesalahan utama yang akan kita berikan saman serta-merta ini iaitu memandu di lorong kecemasan, melebihi had laju, menggunakan telefon, memotong barisan, memotong di garisan berkembar dan tidak mematuhi lampu isyarat.”

Dalam pada itu, Noor Rashid juga berkata, dua lorong kecemasan lebuh raya PLUS di nege­ri Perak akan dibuka sempena Op Selamat 14 ini.

“Laluan berkenaan ialah laluan antara Simpang Pulai-Gopeng berdekatan Hentian Sebelah Simpang Pulai di antara Kilometer (KM) 287 hingga 289.95 dan laluan dari Slim River menghala ke Sungkai di KM367. 3 (arah utara).

“Langkah itu dibuat bagi memastikan kelancaran jalan raya berikutan laluan berkenaan didapati antara yang mengalami kesesakan teruk setiap kali musim perayaan,” katanya.

Mengulas lanjut, Noor Rashid berkata, anggota polis juga akan ditempatkan di kedua-dua laluan itu bagi memastikan kelancaran jika berlaku kecemasan.

“Kita tiada masalah untuk membenarkan PLUS buka laluan kecemasan jika ia boleh mengurangkan masalah kesesakan,” katanya.