ARIFFIN DERAMAN
ARIFFIN DERAMAN

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, larangan hanya terbatas dalam aspek nyanyian dan tarian di khalayak ramai, namun mereka boleh berbuat demikian sekiranya sesama mereka di tempat tertutup.

"Tidak semestinya setiap persembahan pentas wanita tidak boleh dilibatkan langsung, misalnya dalam program penutup Karnival Pantai 2018 di Dataran Batu Burok baru-baru ini, ada beberapa wanita berlakon dalam teater, skestsa di samping deklamasi puisi yang dipersembahkan.

"Maksud garis panduan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pelancongan negeri malam tadi adalah supaya penganjur dapat memastikan yang tiada percampuran secara berleluasa dalam program mereka," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas mesyuarat mingguan Exco di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Berdasarkan garis panduan itu, persembahan oleh kanak-kanak  dibenarkan bercampur di antara lelaki dan perempuan di atas pentas.

Menurut Ariffin, garis panduan turut tertakluk kepada masyarakat bukan Islam di negeri ini, namun kerajaan negeri akan mengambil kira respons setempat di samping keadaan semasa yang ada ketikanya boleh dilonggarkan dengan budi bicara dalam kes-kes tertentu.

Muzik atau hiburan yang dipersembahkan tidak boleh diiringi atau dialunkan dengan instrumen bunyian yang melampau sehingga boleh mempengaruhi penonton atau pendengar mengikut rentak.

Garis panduan itu turut menetapkan persembahan muzik dibenarkan selepas waktu Isyak dan tidak melepasi pukul 12 tengah malam manakala pada waktu siang perlulah tidak melampaui batas waktu solat.

Juga tidak dibenarkan untuk mengadakan persembahan pentas pada hari Khamis malam Jumaat sehingga selepas Solat Jumaat hari berikutnya dan penganjur mestilah memastikan penonton lelaki dan wanita bukan muhrim tidak bercampur antara satu sama lain. 

Sementara itu, persembahan kesenian tradisional yang berunsurkan pemujaan/menyalahi aqidah seperti ulik mayang, rodat/tarian rodat, mak yong, mandi safar (adat), main puteri, tarian saba, tarian balai/pulai tidak dibenarkan melainkan telah dibuat pengubahsuaian yang sepatutnya.

Dalam perkembangan sama, katanya, satu jawatankuasa khas bagi membentuk garis panduan yang lebih khusus berkaitan program kesenian dan kebudayaan sudah dibentuk dan dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat. - UTUSAN ONLINE