Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, PNB di­lihat sebagai sebuah institusi dan instrumen bagi mencapai matlamat serta objektif Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebelum melangkah setapak demi setapak untuk me­lakar pelbagai kejayaan.

Katanya, usaha yang dilakukan PNB bukan sahaja membolehkan pengagihan bonus atau dividen kepada rakyat tetapi membawa limpahan ekonomi ke seluruh negara.

"Perjuangan dari segi menebus maruah negara dapat dilihat kerana syarikat-syarikat ternama antarabangsa yang dahulunya 'milik' negara yang menjajah Malaysia, berjaya 'dibawa pulang' melalui strategi tepat dan kebijaksanaan mereka yang menerajui PNB.

"Kita tahu PNB melalui strategi peristiwa ‘Dawn Raid’ yang kita lakukan untuk membawa balik Guthrie ke Malaysia berjaya menjadikan badan-badan korporat milik orang asing kini menjadi milik rakyat Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2017 bertemakan Pelaburan 360 PNB di Dataran Temerloh di sini, hari ini.

Yang hadir sama isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar serta Presiden dan Ketua­ Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad.

Dalam majlis itu, Perdana Menteri turut menyampaikan sumbangan PNB sebanyak RM700,000 bagi menaik taraf Pusat Hemodialisis Mentakab, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) di sini.

Menurut Najib, kejayaan yang dicapai PNB telah membuka minda bahawa pembaharuan dan penstrukturan semula ekonomi negara boleh dilakukan demi ke­sejahteraan rakyat.

Katanya, pada masa ini, semua pihak boleh melihat PNB me­ngendalikan lebih 200 syarikat terbesar dalam negara.

"PNB menerusi syarikat kumpulannya, Sime Darby Berhad juga berjaya membuktikan pencapaian dalam sektor perladangan dengan memiliki 280,000 hektar ladang di Indonesia, 220,000 hektar di Liberia dan 350,000 hektar di Malaysia," katanya.