Pengarahnya, Hasry Harun berkata, modul yang dihasilkan dengan kerjasama Akademi Keretapi Malaysia (MyRA) itu kini dalam peringkat pembangunan berpandukan standard yang ditetapkan Institution of Railway Signal Engineers (IRSE), United Kingdom.

Katanya, kursus dalam tempoh sebulan hingga enam bulan itu bakal dijalankan di MyRA di Batu Gajah, Perak sejajar pelaksanaan projek Pusat Kecemerlangan Rel yang dipacu agensi di bawah naungan Kementerian Kewangan itu.

"Sebelum ini latihan bagi kursus isyarat dan komunikasi hanya dibuat oleh pihak IRSE yang didatangkan khas dari United Kingdom.

"Dengan inisiatif yang dibangunkan itu, kita dapat menguruskan sendiri memandangkan sudah memiliki 12 tenaga pengajar bertauliah menerusi kursus selama empat bulan dengan pihak pembekal di Portugal baru-baru ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Kesedaran Kereta Api Kebangsaan dan Pesta Kerjaya di Dewan Dagang, Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) di sini hari ini.

Yang hadir sama Pengarah PSMZA, Mohd. Pauzi Ibrahim.

Katanya, industri rel mencakupi bidang luas, dan perkembangan pesat di negara ini menuntut usaha pantas bagi mengisi 16,000 keperluan dengan 13,000 daripadanya meliputi lulusan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) manakala bakinya golongan kolar putih.

Dalam perkembangan sama, Hasry berkata, program kesedaran seumpama itu telah digerakkan ke institusi pendidikan di zon Utara, Selatan dan Lembah Klang dalam memberi hebahan isu semasa serta perkongsian mengenai perkembangan industri kereta api di samping peluang pekerjaan yang ditawarkan.

"Berdasarkan maklum balas daripada para pelajar, rata-ratanya menunjukkan minat yang tinggi di samping dapat mengikis persepsi 'cliche' terhadap bidang ini sebaik sahaja menyedari industri rel yang kian maju dan moden, bukan semata-mata perlu bekerja memerah keringat di bawah panas matahari," ujarnya. - UTUSAN ONLINE