Katanya, insiden yang menyebabkan kereta api itu berhenti serta merta secara automatik selama 26 minit pada waktu puncak di Stesen Bukit Nanas, merupakan kejadian kali pertama sejak 13 tahun perkhidmatan itu yang bermula pada tahun 2003.

"Sebuah tren 05, berlepas dari Stesen Bukit Nanas menuju ke Stesen Raja Chulan, mengalami kegagalan teknikal selepas salah satu rimnya tercabut disebabkan oleh 'stud bolt' yang patah dan terkeluar. Dalam keadaan biasa tayar pancit, tren itu boleh terus bergerak dengan tayar 'run flat' untuk maksimum 25 kilometer.

"Tetapi di dalam kes ini, rim yang tercabut telah menyebabkan mod 'run flat' tidak berfungsi yang membuatkan tren berhenti serta merta semasa berada di Stesen Bukit Nanas," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Perkhidmatan kereta api itu hanya kembali normal pada pukul 7.15 petang semalam selepas tren yang rosak itu berjaya dihantar ke depot, katanya.

Beliau berkata kira-kira 200 penumpang berada di dalam tren tersebut semasa kejadian.

"Semasa kejadian, kapten tren dengan cepat meminta bantuan dari Pusat Kawalan Operasi di Wisma Monorail, yang dengan segera menugaskan Tren 01 dari Stesen Bukit Bintang untuk datang membantu selepas enam minit.

"Pemindahan antara tren ke tren telah dilakukan dan kesemua penumpang telah dipindahkan dengan selamat ke tren bantuan pada 9.46pagi dengan keadaan tiada kecederaan direkodkan dan kupon pemulangan dikeluarkan kepada semua penumpang," katanya.

Mohd Ariffin berkata perkhidmatan monorel diteruskan dengan menggunakan pelan kotingensi perkhidmatan kereta api shutle alternatif (ATSS) yang mana, tiga tren bergerak di atas satu landasan dengan kekerapan 30 minit.

"Kami terpaksa menggunakan rim sementara pada tren yang rosak di Stesen Bukit Nanas untuk di bawa ke Depot Tun Sambathan untuk pembaikan yang mengambil masa sehingga 10 jam kerana tren tersebut hanya boleh bergerak lima kilometer sejam," katanya.

Katanya, pengumuman berterusan dibuat di semua stesen yang memaklumkan kepada penumpang mengenai masa menunggu, serta cadangan untuk mereka mengambil pengangkutan lain sebagai alternatif. - BERNAMA