Mohd Salleh Tun Said Keruak (tengah) bergambar bersama rakan niaga

Mohd Salleh Tun Said Keruak (tengah) bergambar bersama rakan niaga iFIBER selepas melancarkan Live Demo iFIBER Gigacity Cyberjaya, rangkaian internet terbuka Malaysia di sini hari ini. Turut hadir Pengerusi Eksekutif Setia Haruman Sdn. Bhd., Ahmad Khalif Mustapha Kamal (empat dari kiri) dan Pengarah Urusan iFIBER Sdn. Bhd. Wan Mohalina (empat, kanan) - UTUSAN ONLINE/ RASHID MAHFOF

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata ketika ini pakej internet yang ditawarkan masih tidak memenuhi kehendak dan keupayaan rakyat yang mempunyai pelbagai latar belakang ekonomi.

"Pada hari ini pengguna boleh melanggan untuk perkhidmatan internet berkelajuan tinggi pada harga bermula pada RM128 untuk 10Mbps, di samping ada yang menawarkan pelan sehingga 100Mbps pada harga RM179," katanya dalam ucapan perasmian rangkaian internet terbuka, iFiber di sini hari ini.

Kadar harga yang ditawarkan masih tidak mencapai hasrat rakyat yang inginkan harga langganan yang mampu ditanggung mereka dan dalam pasaran terbuka, persaingan adalah asas untuk menyediakan perkhidmatan pada harga yang mampu dibayar pelanggan, kata beliau lagi.

Justeru,beliau berharap iFiber yang dilancarkan hari ini membawa daya saing antara syarikat penyedia perkhidmatan internet, sekali gus membawa penurunan harga dan menghasilkan pelan langganan internet yang memenuhi kehendak rakyat. 

iFiber merupakan sistem pengendali rangkaian internet terbuka yang membolehkan pengguna melanggan terus internet pada bila-bila masa secara dalam talian dan dapat menukar pakej mengikut keperluan dalam beberapa saat.

Dalam pada itu, Salleh mahu peniaga kecil dan sederhana, usahawan serta syarikat sedang membangun menguasai teknologi era digital bagi memperkasakan bidang perniagaan mereka.

"Dunia perniagaan telah berubah akibat teknologi digital. Ramai membuat pembelian menggunakan teknologi digital di waktu malam, hari minggu dan musim jualan atau perayaan.

Dengan menguasai e-dagang, usahawan wanita, belia dan masyarakat amnya tidak lagi ketinggalan malahan mampu bersaing secara adil'," katanya. - BERNAMA