Demikian kata Mahiddin Abdullah, 48, sambil mengasingkan siput lala atau juga dikenali siput retak seribu mengikut saiz di Jeti Nelayan Kampung Seberang Jaya, Kuala Sala di sini, baru-baru ini.

Wajahnya yang se­belum itu menguntumkan se­nyu­man tiba-tiba berubah apa­bila ditanya mengenai elaun sara hidup nelayan yang dinikmatinya sebanyak RM300 sebulan sebelum ini.

MAHIDDIN ABDULLAH
MAHIDDIN ABDULLAH 

“Sudah beberapa bulan tak merasa, bila tak merasa memang terasa beban menanggung perbelanjaan kerana yuran persekolahan tiga anak ber­umur sembilan, 14 dan 17 tahun di sekolah tahfiz perlu dibayar secara bulanan.

“Sebenarnya untuk permohonan baharu ini nama saya tidak lagi berada dalam senarai pe­nerima, tidak tahu pula mengapa. Saya ada membuat rayuan tahun lalu tetapi tetap tidak berjaya.

“Apabila tidak berjaya dalam rayuan itu, ada rakan yang beritahu agar mohon sekali lagi tetapi saya rasa macam tawar hati sebab dahulu dapat macam biasa setiap bulan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bapa kepada enam cahaya mata itu berkata, dia akan cuba mempelbagaikan sumber pendapatan untuk menyara keluarga dan tidak mahu mengharapkan bantuan semata-mata kerana perbelanjaan harian kini juga tetap tidak berubah dengan harga barangan yang semakin mahal.

“Tetapi maksud pelbagaikan sumber pendapatan itu tetap saya turun ke laut mencari rezeki, sama ada menangkap ikan dan hasil laut lain. Contohnya, macam sekarang musim siput retak seribu, kami utamakan menangkap siput ini kerana siput ini bermusim.

“Dapatlah menampung per­belanjaan sedikit walaupun terpaksa berkongsi rezeki de­ngan penduduk yang mengambil upah untuk mengasingkan siput mengikut saiz, keadaan dan sebagainya,” katanya.

Tambah Mahiddin, dia kini juga terpaksa menabung untuk membeli enjin bot baharu kerana enjin yang dimilikinya sekarang telah rosak sejak lebih sebulan lalu dan kini terpaksa meminjam bot rakan-rakannya untuk ke laut.

“Saya pinjam bot rakan yang tidak turun ke laut kerana nak beli enjin baharu bukannya boleh hari ini rosak, esok beli baru. Ambil masa juga nak kumpul duit kerana harganya mencecah ribuan ringgit,” katanya lagi.