Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Taska Permata Puspanita perlu diperluas ke daerah

Rosmah Mansor  menyerahkan replika MPV Proton Exora kepada wakil
Rosmah Mansor menyerahkan replika MPV Proton Exora kepada wakil Institut Kanser Negara (kanan) dalam Mesyuarat Agung Perwakilan Puspanita Kali Ke-35 di Putrajaya, semalam. Turut kelihatan Rohani Abdullah dan Dr. Ali Hamsa. bernama

PUTRAJAYA 28 Feb. - Penubuhan Taska Permata Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) perlu diper­luaskan di seluruh cawang­an ke­cil termasuk di setiap daerah, kata isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Beliau berkata, kewujudan taska berkenaan memberi keselesaan kepada ibu bapa yang majoritinya penjawat awam untuk menjalankan tugasan ha­rian dengan lebih fokus kerana keselamatan anak-anak dalam keadaan baik dan terjamin.

“Di samping itu ia memboleh­kan para ibu bapa melawat keada­an anak-anak mereka pada bila-bila masa sahaja,” kata Rosmah, yang juga penaung Puspanita, dalam majlis perasmian mesyua­rat agung perwakilan Puspanita yang ke-35 di sini hari ini.

Yang turut hadir Yang Dipertua Puspanita Puan Seri Rohani Abdullah dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr, Ali Hamsa.

Rosmah berkata, pada masa ini terdapat 31 buah Taska Permata Puspanita di cawangan Puspa­nita di seluruh negara dan beliau amat memahami keperluan pusat penjagaan yang selamat serta terjamin untuk anak-anak.

“Kajian menunjukkan baha­wa masa depan kanak-kanak amat bergantung kepada peluang pendidikan awal yang diterima sebelum berumur empat tahun,” katanya.

Justeru, katanya, pada pe­ringkat umur berkenaan kanak-kanak tersebut perlu diberi pen­didikan awal berkualiti oleh pe­ngasuh yang terlatih.

Rosmah dalam ucapannya itu juga mengingatkan penjawat awam wanita supaya meng­uta­makan amalan kerja terbaik kerana ia adalah cerminan kepada kewibawaan perkhidmatan awam.

“Anda mesti bersungguh dan serius dalam sebarang tugas yang diamanahkan, fokus, disiplin, te­pati masa dan berkompetensi tinggi,” katanya.

“Dengan ini tidak timbul lagi tanggapan bahawa berurusan de­ngan kerajaan adalah lambat, ba­nyak kerenah birokrasi atau laya­nan kurang mesra,” katanya lagi.

Sementara itu, Yang Dipertua Puspanita Puan Sri Rohani Abdullah dalam ucapannya berkata, keanggotaan Puspanita di seluruh negara kini telah mencapai 100,500 orang.

Dalam majlis tersebut Rosmah turut menyampaikan sumbangan Puspanita berjumlah RM100,000 kepada Taska Puspanita cawa­ng­an kementerian dan negeri serta kunci kereta kenderaan pelbagai guna Proton Exora kepada Institut Kanser Negara.

Sementara itu, Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad menerima anugerah pencapaian sepanjang hayat di atas sumbangan beliau kepada Puspanita. – BERNAMA

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain