Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar berkata, tindakan tegas itu perlu kerana dasar tersebut jelas tidak bertanggungjawab dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kebebasan beragama kepada semua rakyat.

"Saya minta PBT siasat perkara itu dan jika terbukti benar ia dasar hotel tersebut, tarik balik lesen mereka.

"Tidak sepatutnya mereka (hotel) itu boleh beroperasi di negara kita," katanya selepas melawat anggota bomba yang melecur semasa bertugas di Hospital Raja Perempuan Bainun (HRPB), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Wan Mohd. Nor Ibrahim, dan Pengarah JBPM negeri , Datuk Yahya Madis.

Noh mengulas laporan portal berita berhubung pendedahan Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (Uni-MLC) mengenai aduan kakitangan hotel kepada pusat itu berkaitan diskriminasi terhadap pekerja wanita Islam yang diarah menanggalkan tudung.

Laporan itu turut memetik Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Cheah Swee Hee yang mempertahankan tindakan hotel melarang wanita Islam bertudung bekerja di bahagian khidmat pelanggan sebagai sebahagian dasar antarabangsa. - UTUSAN ONLINE