Tian Chua

Tian Chua berkata larangan imigresen yang dikenakan oleh kerajaan terdahulu menghalang mereka daripada memasuki negeri itu, tetapi dengan perubahan kerajaan pemerintah, beliau berharap dapat membina Malaysia yang progresif bersama-sama.


“Saya akan bertemu Datuk (Mohd) Shafie untuk mengucapkan terima kasih kepada beliau secara peribadi, mungkin pada Ramadan. Saya rasa gembira kerana sekali lagi dapat menemui rakyat di Sabah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


Semalam, selepas memulakan tugas, Mohd Shafie mengarahkan supaya larangan memasuki Sabah terhadap pemimpin daripada Pakatan Harapan (PH) dari Semenanjung ditarik balik.


Tian Chua yang juga Anggota Parlimen Batu selama dua penggal sejak 2008 hingga 2018, juga merakamkan penghargaan kepada pengundi di Sabah dan Sarawak atas sumbangan ‘besar’ mereka terhadap kerusi Parlimen kepada PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lepas.


Beliau berkata gabungan 25 kerusi pelbagai kaum itu membolehkan PH mendapat majoriti selesa semasa PRU14.


“Kami berterima kasih kepada rakyat Sabah dan Sarawak atas sokongan jelas mereka mengenai agenda reformasi oleh PH dan Warisan,” katanya.- BERNAMA