Pakar Tanah Runtuh Pengurusan Bencana dan Hakisan Tanah dari Universiti Sains Malaysia, Prof Dr Habibah Lateh berkata jika projek itu diteruskan, ia sangat bahaya berikutan kemungkinan akan berlaku runtuhan yang menyebabkan malapetaka besar.

"Hari ini, saya datang ke tapak tanah runtuh untuk melihat sendiri keadaan di situ dan saya sangat terperanjat kerana bentuk muka bumi dan topografi di situ tidak sesuai untuk pembinaan sebarang projek.

"Malah, bukan sahaja tanah yang ditambak di situ jenis peroi sebaliknya batuan induk di kawasan bukit itu merupakan jenis granite dan apabila diluluhawakan ia akan bertukar menjadi peroi juga," katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan di tempat kejadian di sini, hari ini.

Beliau berkata tanah peroi itu tidak sesuai bagi sebarang pembangunan projek kerana ia tidak kukuh, longgar serta tidak mempunyai ketahanan.


Habibah berkata batuan granite yang telah terluluhawa pula sememangnya cenderung untuk berlakunya tanah runtuh disebabkan ia tidak kohesif (tanah tidak melekat antara satu dengan yang lain) yang seterusnya boleh membawa kepada ketidakstabilan cerun.

Beliau berkata sepatutnya kajian terperinci perlu dijalankan dari segi topografi sebelum pembinaan projek itu dan jika ia dibina juga, perlu mengikut garisan kontur dari segi ketahanan tanah sama ada sesuai atau sebaliknya dan keupayaan cerun yang dipotong kerana ia akan menjadi lebih curam.

"Apabila saya pergi dekat situ dan buat pemantauan tanah asal dan tanah yang ditambak itu memang langsung tidak sesuai*saya bercakap sebagai ahli akademik," katanya.

Beliau berkata jika projek itu mahu diteruskan, pihak terlibat perlu membuat kajian terperinci, penelitian dan perbincangan semula mengenai beberapa faktor terutama membabitkan jenis tanah yang peroi.

Habibah turut mencadangkan agar Kerajaan Negeri mendapatkan pandangan daripada pakar atau ahli akademik jika mahu membuat sebarang pembangunan terutama membabitkan projek di lereng bukit pada masa hadapan.


"Dari segi perancangan dan struktur yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang memang cantik seperti yang termaktub dalam syarat iaitu tidak boleh bina di kawasan melebihi ketinggian 76 meter, tak boleh dibina di kawasan cerun yang melebihi 26 meter* namun pelaksanaannya siapa yang pantau* bila tidak pantau macam inilah jadinya.

"Kalau tanah runtuh itu berlaku disebabkan faktor semula jadi kita mungkin boleh terima tapi jika membabitkan faktor kemanusiaan ia perlu diambil kira dan tidak diulangi pada masa hadapan. Kita tidak belajar dari kesilapan lalu (tanah runtuh di Tanjung Bungah tahun lepas) patut kita kena kaji apa yang telah berlaku sebelum meneruskan projek ini," katanya.

Beliau berkata kedudukan kontena yang didiami pekerja asing di situ juga terletak di kawasan cerun yang didapati terdapat banyak aliran air mengalir dengan tanah yang peroi serta agak longgar yang sudah tentu boleh jatuh dengan mudah.


Kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan projek Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus pada pukul 1.56 tengah hari Jumaat lepas itu menimbus 13 kontena dan rumah kongsi petempatan pekerja projek.

Sehingga ini, sembilan mayat telah ditemui, empat cedera dan seorang masih hilang dikhuatiri tertimbus dalam runtuhan tanah itu. - BERNAMA