Beliau berkata, gesaan itu adalah berdasarkan keadaan ekonomi yang tidak stabil selain peluang kerja yang ditawarkan kepada golongan kontraktor Bumiputera sedia ada dilihat sangat sedikit.

“Daripada Jun 2018 sehingga April 2019 difahamkan hanya seramai 1,014 kontraktor G1 yang mendapat projek berbanding bilangan kontraktor G1 Bumiputera ketika ini iaitu seramai 20,439. Jadi hanya empat peratus yang mendapat projek.

“Walaupun kami bersetuju dengan hasrat kerajaan, peluang untuk mendapat perlu ditingkatkan terlebih dahulu dengan mewujudkan pakej khas seperti Wang Peruntukan Sementara (WPS) dengan memastikan sekurang-kurangnya 10 ke 20 peratus nilai kontrak daripada setiap projek mega diperuntukkan kepada kontraktor G1 Bumiputera dan diagihkan dengan sewajarnya,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini, hari ini.

Mohamed Fadzill juga berharap bajet projek kerajaan untuk setiap jabatan dan kementerian dapat dibelanjakan dan dibahagikan dengan adil supaya tidak mengabaikan kontraktor Bumiputera pada masa akan datang.

Kementerian Kewangan dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi sebelum ini membuat keputusan untuk membuka semula pendaftaran Kontraktor G1 Bumiputera (dikenali sebagai kontraktor kelas F sebelum ini) pada 1 September ini selepas 14 tahun pendaftarannya dibekukan.

Keputusan itu dibuat bagi memberi peluang kepada kontraktor baharu Bumiputera terutamanya generasi muda untuk terlibat secara aktif dalam industri pembinaan khususnya dalam mengendalikan projek kerajaan.

Kedua-dua kementerian itu berkata jemaah menteri juga setuju supaya had nilai penawaran kerja-kerja kerajaan yang ditawarkan kepada Kontraktor G1 Bumiputera dikaji semula. - BERNAMA