Timbalan Perdana Menteri berkata, kertas kerja itu untuk dibentangkan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan barisan jemaah menteri dapat memberi pandangan.

“Langkah ini juga supaya penyelesaian jangka panjang dapat diperoleh bagi keselamatan pe­ngunjung di pantai.

“Bukan sahaja di Pantai Timur tetapi di semua kawasan di seluruh negara dan dalam apa juga situasi,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan pra­pelancaran Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) Ke-16 dan Pameran Antarabangsa bagi Kese­lamatan Negara di Asia (Natsec) 2018, di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Datuk Masir Kujat; Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim; Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Pengerusi DSA Exhibiton and Conference Sdn. Bhd., Tan Sri Asmat Kamaludin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tragedi lemas di seluruh negara yang telah meragut beberapa nyawa kebelakangan ini.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai perkembangan perintah berkurung yang dikuatkuasakan di Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esszone), Ahmad Zahid menegaskan, buat masa ini kerajaan belum berhasrat membatalkannya.

Ini kerana, jelas beliau, kerajaan tidak berkompromi apabila membabitkan soal keselamatan rakyat di kawasan terlibat.

“Keutamaan ini kami berikan kerana soal keselamatan bukan suatu agenda politik tetapi agenda rakyat yang berada paling atas. Ini merupakan komitmen kerajaan,” ujar beliau.

Selain itu, berhubung perkembangan terkini etnik Uighur yang ditahan di Thailand, Ahmad Zahid memberitahu, kerajaan akan mengadakan perundingan lanjut yang menyentuh soal diplomasi dan keselamatan membabitkan negara-negara terlibat.

Katanya, kerajaan akan mengambil tindakan yang tidak menyentuh perasaan mana-mana negara dan percaya keputusan bakal dicapai adalah yang terbaik.