Ini kerana ia merupakan pelanggaran disiplin sama seperti kesalahan menghisap rokok di sekolah dan boleh dikenakan hukuman.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, pihaknya memandang serius gejala itu dan akan memberi perhatian terhadap isu berkenaan.

Menurut beliau, walaupun belum ada laporan berhubung kejadian tersebut dilaporkan di negeri ini tetapi langkah sewajarnya perlu diambil.

“Perkara ini serius dan saya akan mengadakan perbincangan dengan Pengarah Pelajaran Negeri kerana kesalahan menghisap vape berkaitan isu disiplin.

“Kita akan tangani perkara ini seperti mana kesalahan menghisap rokok dalam kalangan pelajar sama ada di sekolah rendah dan menengah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan majlis penutup Pertandingan Pengisahan Kenegaraan Peringkat Negeri Perak di kampus Institut Perguruan Guru, Hulu Kinta di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Penerangan Negeri, Taib Ubah.

Akhbar ini hari ini melaporkan kebimbangan golongan pendidik dan orang ramai berikutan penularan dalam media sosial berkenaan penggunaan vape dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah.

Menurut laporan tersebut, menghisap vape dalam kalangan pelajar sema­kin serius malah seperti sudah tidak terkawal berikutan trend membimbangkan itu sudah melarat ke peringkat murid sekolah rendah.

Mengulas lanjut kata Abdul Aziz, walaupun gejala menghisap rokok di sekolah bukan baharu tetapi trend menghisap vape sedikit berbeza dan perlu melihat kembali strategi pencegahan yang lebih berkesan. - UTUSAN ONLINE