Timbalan Presiden Kelab Perkasa United Kingdom (UK), Dr. Nurul Dyana Zainudin berkata, sebahagian pelajar yang membuat pinjaman pendidikan terpaksa menanggung faedah pinjaman yang tinggi apabila Majlis Amanah Rakyat (Mara) menjalinkan kerjasama dengan pihak perbankan dalam memberikan pinjaman pendidikan.

“Sebelum ini Mara memberi pinjaman tanpa mengenakan faedah dan pembayaran balik dengan kadar yang rendah setiap bulan namun sejak tahun lalu mereka mengenakan faedah bagi pembayaran balik pinjaman.

“Keadaan ini membimbangkan terutama kepada mahasiswa yang datang daripada keluarga yang kurang berkemampuan,” katanya ketika menyampaikan usul biasiswa pendidikan dalam Persidangan Agung Tahunan Ke-8 Perkasa di sini hari ini.

Jelasnya, Biro Pendidikan Perkasa perlu membantu mencari jalan penyelesaian agar masalah ini tidak berterusan.

“Walaupun kami berada jauh dari negara sendiri, tetapi kami sentiasa memantau setiap isu yang berlaku di negara ini dan kami sangat risau mengenai hala tuju masa depan pendidikan bumiputera.

“Perkara ini secara tidak langsung akan menyebabkan mahasiswa terbeban dengan hutang setelah menamatkan pengajian,” katanya.