Menurut sumber, suspek berusia 53 tahun itu ditahan kira-kira pukul 6 petang berhubung isu penjualan tanah seluas 880 hektar di Ijok, Selangor kepada syarikat pemaju swasta pada harga RM1.8 billion.

“Selain tangkapan, SPRM turut membekukan 34 akaun bank hari ini. Jumlah keseluruhan akaun bank yang telah dibekukan sejak semalam ialah 43 akaun yang dianggarkan bernilai kira-kira RM87 juta,” kata sumber itu.

Sementara itu, Pengarah Kanan Jabatan Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd Ghani mengesahkan tangkapan tersebut dan memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Semalam, SPRM telah menahan enam individu berusia antara 34 dan 84 tahun termasuk dua individu bergelar Datuk selepas hampir lima bulan melakukan siasatan berhubung kes tersebut.

SPRM turut membekukan sembilan akaun peribadi dan syarikat bernilai RM39 juta.

Pada November lalu, dua pertubuhan bukan kerajaan iaitu Generation2u United Club dan Persatuan Pemuda Kampung Lindungan 565 membuat laporan kepada SPRM meminta siasatan dijalankan berhubung isu tanah di Ijok yang diberikan oleh kerajaan PKR Selangor kepada dua syarikat.

Tanah seluas 880 hektar itu dibeli oleh dua syarikat LBCN Development Sdn. Bhd. dan Mujur Zaman Sdn. Bhd. pada 1998 namun dirampas kerajaan negeri pada 2008 mengikut Kanun Tanah Negara berikutan pelanggaran syarat dan terma perjanjian. - UTUSAN ONLINE