Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, le­bih 45 peratus daripada pempamer terlibat hadir daripada sektor komersial iaitu jumlah tertinggi berbanding penganjuran sebelum ini.

“Tahun ini menyaksikan peranan signifikan kementerian dalam memberi penekanan kepada sektor komersial bagi mempromosi sektor penerba­ngan awam serta maritim di negara ini.

“Daripada keseluruhan 555 pempamer, 240 merupakan mereka yang terlibat dalam industri komersial,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu kata Tiong Lai,  LIMA ‘17 akan membawa perspektif menarik bagi pertumbuhan maritim dan aeroangkasa terutamanya di rantau ini.

“Para delegasi dilihat mampu merebut peluang untuk memahami trend dan strategi terkini serta mengukuhkan rangkaian mereka dalam dua sektor tersebut di sini,” ujarnya.

Pameran tersebut bakal berlangsung mulai esok hingga 25 Mac ini dengan upacara perasmian akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Selain kuasa-kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat dan Rusia, terdapat 10 negara baharu akan menyertai pameran kali ini antaranya Austria, Belanda, Poland dan Ukraine. 

Mengulas lanjut katanya, pihak kementerian melalui Jabatan Penerbangan Awam (DCA) akan menganjurkan edisi kedua Sidang Kemuncak Penerbangan Awam ASEAN bertempat di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) Rabu ini. 

“Bertemakan Kelestarian Pe­nerbangan Awam Hijau Global, sidang kemuncak ini bakal dihadiri oleh menteri-menteri pengangkutan ASEAN selain kumpulan utama pemegang berkepentingan kerajaan, pe­ngawal selia industri, syarikat penerbangan dan lapangan terbang, pengeluar pesawat serta pembekal perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan operasi (MRO).

“Sidang ini diadakan susulan daripada kejayaan sidang pertama pada LIMA ‘15. Selain itu Forum Ketua Agensi Ke­selamatan Maritim Asia Pasifik kendalian Jabatan Laut Malaysia akan turut diadakan pada 20 hingga 23 Mac sekali gus memberi penekanan terhadap kelestarian alam sekitar bagi sektor maritim,” katanya.