Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, pembelaan setimpal kepada nelayan merupakan tanggungjawab perlu dipikul kerajaan negeri memandangkan projek Penang South Reclamation (PSR) itu merupakan inisiatif dilaksanakan mereka.

“Secara keseluruhan, pelaksanaan projek PSR menjejaskan sejumlah 4,996 nelayan di mana 1,422 daripadanya merupakan nelayan tradisional di Zon A.

“Dianggarkan sebanyak 51,184 tan metrik dengan nilai RM555 juta setahun bagi pendaratan tangkapan marin di Pulau Pinang akan terjejas ekoran kemusnahan kekal berkenaan,” katanya sewaktu sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (BN-Kepala Batas) yang meminta kerajaan menyatakan adakah projek PSR akan menjejaskan hasil tangkapan ikan dan kehidupan laut nelayan.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Reezal Merican sama ada kementerian akan membantah projek PSR di dalam mesyuarat Majlis Tindakan Fizikal Negara, Salahuddin menjelaskan, keputusan itu perlu dibuat secara kolektif.

“Kabinet mempunyai disiplin, jadi segala rancangan ataupun keputusan perlu dibuat secara koletif. Kami juga telah melaporkan segala maklumat menggunakan kepakaran pegawai profesional.

“Buat masa ini, kementerian tidak boleh memberi keputusan kerana ia tertakluk kepada keputusan Majlis Tindakan Fizikal Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri (Tun Dr. Mahathir Mohamad),” katanya.- UTUSAN ONLINE