DR. MASZLEE MALIK
DR. MASZLEE MALIK

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, pihaknya mengakui bilangan kaunselor yang ditempatkan di pejabat pendidikan daerah belum mencukupi setakat ini dan perlu dipertingkatkan lagi untuk membantu menangani isu kesihatan mental dalam kalangan guru.

“Pada tahun lalu, kementerian telah menjalankan kajian berkaitan stres dalam kalangan guru yang melibatkan 48,258 responden. Hasil kajian menunjukkan sebanyak 4.4 peratus guru mengalami stres tahap sederhana tinggi.

“Hasil kajian ini juga menunjukkan stres dalam kalangan golongan itu disebabkan pelbagai faktor antaranya isu keluarga, kewangan, pentadbiran, bebanan tugas, tidak mendapat penghargaan, kekurangan kemahiran dalam menjalankan tugas dan tidak dilatih untuk menangani stres,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Zahari Sarip yang meminta Kementerian Pendidikan menyatakan statistik kajian dan langkah menangani masalah stres dan kemurungan yang dihadapi oleh guru.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan golongan guru paling ramai dikesan mengalami gejala stres berbanding kerjaya lain di negara ini yang punca utamanya adalah beban kerja yang terlampau banyak. – UTUSAN ONLINE