Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim berkata, penambahan aset berkenaan perlu dipandang serius dan bukannya hanya diberi perhatian ketika berlaku bencana atau adanya program seperti Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2015 sahaja.

“Mulai sekarang, kita sudah memulakan perbincangan untuk menambah aset Maritim Malaysia, ini kerana kawasan sempadan laut negara kita luas.

“Selain itu, usia aset laut kita juga sudah menjangkau usia yang luar biasa, ada yang sudah melanggar antara 30 hingga 50 tahun yang sepatutnya sudah pencen daripada terus digunakan,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat tapak pameran Maritim Malaysia di Pusat Pameran Antarabangsa Langkawi (MIEC) di sini hari ini.

Maritim Malaysia telah menyertai acara berprestij itu sejak 2007 dengan terlibat dalam acara demonstrasi maritim dan pameran statik menggunakan enam bot dan masing-masing empat kapal laut serta pesawat melibatkan sebanyak 145 anggota penguat kuasa daripada Wilayah Utara dan Stesen Udara Maritim Subang.

Maritim Malaysia juga terlibat dengan penganjuran pameran kerjaya untuk memberi maklumat kepada orang ramai mengenai tugas, peranan dan perkembangan semasa agensi tersebut.

Pada penganjuran edisi ke-13 ini, Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd. Amdan Kurish telah menerima kunjungan ketua jabatan agensi keselamatan maritim dari United Kingdom (UK), China, Singapura, Pakistan, Myanmar, India, Bangladesh dan Sweden.

Penyertaan kali ini juga mencatat sejarah apabila Maritim Malaysia dan Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk bekerjasama dalam perkongsian strategik menerusi platform Program Sahabat Maritim.

Dalam pada itu, Shahidan berkata, penambahan dua kapal baru yang diberikan oleh Australia melalui Agensi Kastam dan Kawalan Sempadan Australia (ACBPS) secara tidak langsung dapat merealisasikan keupayaan Maritim Malaysia untuk memerangi aktiviti pemerdagangan manusia serta penyeludupan imigran melalui perairan negara.