Bekas pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) itu menerima wang tunai RM10,000 di samping tajaan umrah, set persalinan, piala dan sijil penghargaan yang disampaikan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin. 

Turut berangkat, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan anakanda baginda, Tengku Muhammad Ismail yang diiringi Ahli Dewan Pangkuan DiRaja, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail. 

Yang hadir sama, Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, Tuan Faizah Tuan Ab. Rahman; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk A. Rahman Yahya, barisan kepimpinan kerajaan dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. 

Penganugerahan itu diberikan atas sumbangan serta jasa beliau yang sentiasa komited terhadap tanggungjawab mendaulatkan syiar Islam terutama kepada masyarakat Terengganu dan pembangunan Islam. 

Talib yang berasal dari wilayah Kampung Cham di Kemboja kini giat mengendalikan kelas-kelas pengajian agama di masjid terutama kelas pengajian tinggi secara berkitab kepada daie dan muallim di daerah ini dan Setiu. 

Dalam majlis itu, Sultan Mizan turut berkenan menyampaikan beberapa anugerah lain iaitu Tokoh Keluarga Tunggal kepada Hasnah Sulong di samping Keluarga Mithali (Haron Yusof), Tokoh Aktivis Saudara Kita Maal Hijrah (Noorazman Lua @ Lua Boon), Tokoh Imam Cemerlang (Datuk Ismail Ali), Tokoh Bilal Cemerlang (Safiee Sholeh), Tokoh Hafiz (Rudaini Harun), dan Tokoh Dakwah (Hamzah @ Wahab Hitam).

Bagi kategori Tokoh Orang Kurang Upaya (OKU) anugerah diberikan kepada Anjang Ali dan Haziqah Nurulhuda Harun manakala bagi Masjid Kerajaan Terbaik (Masjid Sultan Muhammad Bukit Besar), Masjid Mukim Terbaik (Masjid Al-Islah Kampung Limbongan Besut) dan Kedai/Restoran Halal Terbaik (Ariza Ahmad). - UTUSAN ONLINE