Malah, mereka langsung tidak menyangka Muhammad Afiq Heusen Rahizat, 25, atau digelar Abu Dubais pergi ke negara bergolak tersebut sejak 6 April lalu untuk menyertai perjuangan IS.

Menurut seorang jiran mangsa yang enggan dikenali, dia hanya mengetahui mengenai kejadian tersebut dan penyertaan Muhammad Afiq Heusen bersama adiknya, Muhammad Aqif Heusen, 22, melalui laporan Utusan Malaysia yang disiarkan hari ini.

"Kami langsung tidak mengetahui mengenai perkara tersebut, tetapi bapa tiri Allahyarham pernah mengadakan majlis doa selamat beberapa bulan lalu di masjid di sini untuk anaknya ke Syria.

"Tetapi kami tidak menyangka mangsa pergi untuk berperang di negara bergolak itu dan tidak pula bertanya lebih lanjut mengenai majlis tersebut kerana menyangka diadakan untuk Muhammad Afiq Heusen dan adiknya menyambung pelajaran atau bekerja di sana," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, Muhammad Afiq Heusen menjadi rakyat Malaysia kelima yang terbunuh dalam pertempuran tersebut selain Mohd. Lotfi Ariffin, 46; Mohamad Fadlan Shahidi Mohammad Khir, 21; Zainan Harith, 52, dan Ahmad Tarmimi Maliki, 26.

Tambah jiran terbabit, anaknya yang juga rakan Muhammad Aqif Heusen turut terkejut apabila dimaklumkan mengenai kejadian tersebut.

"Saya menghantar gambar keratan akhbar kepada anak yang kini bekerja di luar negara dan dia amat terkejut dengan berita ini kerana tidak menyangka Muhammad Aqif Heusen mengikut abangnya ke sana untuk menyertai IS," katanya.

Sementara itu, tinjauan di rumah mangsa sejak pukul 5 hingga 7 petang ini mendapati, pintu pagar kediaman keluarga dua beradik tersebut berkunci dan tiada individu yang keluar atau masuk.